Penyokong Ikhwanul Muslimin Serang Balas

Minggu, 29 Desember 2013 0 komentar


KAHERAH – Keganasan baharu tercetus di Mesir kelmarin apabila penyokong Ikhwanul Muslimin melancarkan serangan balas, sehari selepas tindakan ganas pihak tentera mengosongkan lokasi perhimpunan di dataran masjid Rabaa Al-Adawiya dan beberapa lokasi lain yang meragut sekurang-kurangnya 525 nyawa dan mengundang kritikan antarabangsa.

Mereka yang begitu marah dilaporkan menyerang pondok kawalan di Sinai dan bandar Assiut, menyebabkan dua anggota polis maut.

Penunjuk perasaan turut membakar sebuah pejabat kerajaan di Giza. Di Iskandariah, beratus-ratus penyokong bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi menutup jalan sambil berarak.

Jurucakap Ikhwanul Muslimin, Gehad El-Haddad menegaskan, kemarahan kumpulan yang mempunyai jutaan ahli itu sudah di luar kawalan.

“Selepas serangan, tangkapan dan pembunuhan yang kami hadapi, emosi sudah tidak dapat dikawal lagi,” katanya.

Ikhwanul Muslimin menggesa pengikutnya supaya berarak bermula dari masjid Al-Iman di Kaherah. Majlis pengebumian mangsa yang terbunuh juga dilihat mampu mencetuskan keganasan baharu untuk beberapa hari akan datang.

Dalam kejadian kelmarin, para penunjuk perasaan bertempur dengan anggota polis dan tentera yang menggunakan jentolak, gas pemedih mata serta peluru hidup untuk mengosongkan lokasi perhimpunan penunjuk perasaan di sini.

Pertempuran kemudian pantas merebak ke Iskandariah dan bandar-bandar lain di seluruh Mesir.

El-Haddad berikrar bahawa demonstrasi akan diteruskan.

“Kami akan meneruskan perjuangan sehingga rampasan kuasa tentera ini dapat ditumbangkan,” katanya lagi.

Protes bermula apabila para penunjuk perasaan menuntut kuasa Morsi dikembalikan selepas beliau digulingkan pada 3 Julai lalu. – Agensi

0 komentar:

Posting Komentar

 

©Copyright 2011 design web blog